Saturday 21 September 2013

Impian usah kaburi matlamat


Hari ini, UMNO melangkah setapak lagi ke arah pengukuhan dengan terlaksananya proses transformasi menerusi kaedah pemilihan pucuk pimpinan yang bakal menentukan kelangsungan parti keramat orang Melayu itu. 

Pelbagai nama dan rupa bakal menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan dihasratkan, baik yang tampil bersama restu akar umbi mahu pun mereka yang menolak tepi justifikasi untuk memasuki gelanggang.

Spektrum debarnya mirip pilihan raya umum (PRU), manakala proses baru yang diguna pakai dilihat telus menterjemahkan kehendak ahli dalam membentuk Kabinet UMNO terbaik seperti diimpikan. Sesama ahli keluarga 

Seperkara yang perlu kental dipegang ahli sebelum mengundi ialah untuk mengingati pertandingan ini adalah persaingan sesama ahli keluarga yang menawarkan diri untuk berkhidmat. 

Senario dan pengamatan serta rasionalnya harus jauh berbeza berbanding pentas PRU yang mana kawan boleh bertukar menjadi lawan dalam sekelip mata. 

Ahli UMNO yang mendukung segala baik buruk parti berusia 67 tahun itu tidak boleh membuka walau sekelumit ruang sedemikian, sekalipun dalam keadaan calon kegemaran terpinggir daripada menjadi pilihan. 
Turut perlu ditutup rapat ialah dakwaan kudis amalan politik wang yang mencalari imej dan reputasi UMNO sebelum ini hingga perlahan-lahan menghakis keyakinan umum terhadap landasan sebenar perjuangannya. 

Mungkin ia perit untuk diakui, malah mungkin juga cuba dinafi tetapi apa juga keadaannya, UMNO berhak diberikan kredit kerana berani berubah. 

Paling tidak, parti terbesar orang Melayu itu mengorak langkah berani supaya tidak terus-menerus dipalit pelbagai label kurang menyenangkan hingga membuatkannya jauh daripada generasi muda. 

Kepercayaan baru 

Justeru, proses baru yang menghapuskan peruntukan kuota pencalonan dan mengembalikan kuasa memilih ke tangan kira-kira 140,000 ahli berbekalkan amanat akar umbi, harus mencerna kepercayaan baru terhadap parti yang menunjangi gagasan 13 komponen Barisan Nasional (BN) itu. 

Setakat petang semalam, jawatan tertinggi ketiga-tiga sayap dilapor bakal ditandingi, manakala sekurang-kurangnya enam calon mengintai tiga kerusi Naib Presiden - perkembangan yang menyokong suburnya amalan demokrasi dalam UMNO. 

Gelombang kerancakan turut meresapi peringkat bahagian dengan pertandingan berlaku di sana sini tetapi ia tidak seharusnya menggoncang keutuhan perpaduan yang dibina sejak Datuk Onn Jaafar meniupkan semangat membela nasib orang Melayu menerusi lahirnya UMNO tanggal 11 Mei 1946. 

Cita-cita menggunung untuk mempertahankan atau meraih jawatan dalam parti tidak wajar dikaburi dengan matlamat asal parti ditubuhkan dan menaungi jutaan ahli di seluruh dunia. 

Tabir sudah tergantung dan tikar siap terbentang. Hanya menunggu langkah menuju garisan akhir dengan harapan masing-masing meletakkan penyatuan Melayu sebagai azimat untuk diberi peluang berkhidmat. 

Baik berjalan atau berlari, penyudahnya kelak harus menjurus kepada agenda mengekalkan survival UMNO sebagai keutamaan. Untuk itu, jangan sesekali ada rasa benci.





No comments:

Post a Comment