Thursday 19 September 2013

Mampukah Mukhriz Bersaing?

Pengumuman Menteri Besar Kedah, Dato' Mukhriz Tun Mahathir semalam [baca sini] menawarkan dirinya bertanding merebut jawatan Naib Presiden merupakan satu langkah drastik dari kacamata penganalisis politik tanah air kerana kehadiran beliau sebagai calon mampu menggugat kedudukan ketiga-tiga Naib Presiden ketika ini. 

Tindakan beliau mengumumkan hasratnya agak lewat memberi gambaran bahawa "feedback" yang diperolehi dari jentera kempen serta ahli akar umbi UMNO sangat positif. Justeru tindakan beliau untuk bertanding selaras dengan saranan Tun Dr Mahathir supaya parti itu perlu 'diremajakan' memandangkan UMNO sudah tua dan bakal mati [baca sini].

Cakap-cakap dalam kalangan ahli-ahli UMNO pula mendapati Dato' Mukhriz  mampu merubah rupa dan kredibiliti parti tersebut atas faktor kebijaksanaan beliau menggerakkan jentera BN Kedah untuk menawan semula negeri itu dari pimpinan Pas. 

Pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu, ramai percaya Dato' Mukhriz mampu membantu BN merampas semula Kedah kerana kegigihan beliau, kredibiliti pemimpin berwibawa, pengaruh bapanya, Tun Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri selain dilihat tenang dalam apa jua keadaan [baca sini].

Harus diingat "Think Thank" Dato' Mukhriz bukan calang-calang. Mereka ini terdiri dari tokoh-tokoh akademik terdiri dari bekas pelajar MRSM atau sinonimnya 'Anak Sains Mara' ANSARA. Malah Dato' Mukhriz juga satu-satunya ANSARA yang dilantik sebagai Menteri Besar. ANSARA lain yang berada dalam kabinet ketika ini adalah Datuk Seri Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato' Razali Ibrahim, Timbalan Menteri  Jabatan Perdana Menteri [baca sini].

Malah Dato' Mukhriz banyak menggerakkan kempennya semasa bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan 2009 menggunakan platform sebagai Presiden ANSARA. Walaupun tewas di tangan Khairy Jamaluddin, impak yang diberi cukup kuat ketika itu. Malahan sokongan padanya amat memberangsangkan berbanding kepada Khairy Jamaluddin.


Satu sifat yang ada pada Dato' Mukhriz mewarisi sifat ayahandanya, Tun Dr Mahathir adalah ketenangan dan setia pada pemimpin [baca sini]. Ketenangan dan sifat setia inilah yang memberi kelebihan kepadanya untuk merangka strategi ampuh dalam mendepani cabaran sebagai pemimpin tertinggi UMNO kelak termasuk sepanjang kempen pemilihan parti.

Paling penting, Dato' Mukhriz  juga disegani dan dihormati lawan. Sejurus menjawat jawatan Menteri Besar Kedah selepas mengambil alihnya dari Dato' Azizan Razak, beliau tidak bertindak 'membalas dendam' sebaliknya menzahirkan sikap berbaik-baik dengan Ustaz Azizan termasuk menziarahi bekas Menteri Besar Kedah itu di hospital selepas menjalani pembedahan potong kaki ekoran penyakit kencing manis [baca sini].

Sokongan untuk Dato' Mukhriz juga bukannya dari kalangan orang Melayu sahaja. Rata-rata pengundi kaum Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam amat berpuas hati dengan prestasinya sebagai Adun dengan memberi markah A+ kepada beliau [baca sini].

Beberapa dasar Dato' Mukhriz juga diberi "credit" pelbagai pihak antaranya jaminan untuk tidak memberi perniagaan kepada ahli keluarganya [baca sini] dan langkah menilai prestasi para Exco Kerajaan Negeri setiap tahun dengan mengadakan Indeks Pencapaian Utama atau KPI turut dipuji blogger terkenal pembangkang, MSO [baca sini].

Bagi perwakilan UMNO yang akan memilih calon-calon jawatan tertinggi parti itu pada 19 Oktober akan datang, kehadiran Dato' Mukhriz sebagai calon haruslah dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mereka melakukan perubahan.

UMNO perlukan suntikan baru agar parti tersebut tidak dilihat parti yang tidak mempunyai pemimpin pelapis berwibawa selain memastikan survival parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu itu dalam konteks politik di Malaysia [baca sini].


~ Tanjak Pusaka ~








No comments:

Post a Comment