Thursday 19 September 2013

Signifikan Persaingan Naib Presiden UMNO



Penyertaan Datuk Mukhriz Mahathir ke persaingan Naib Presiden UMNO menjadikan pertandingan untuk mengisi kekosongan tiga jawatan nombor tiga dalam hirarki parti itu semakin menarik.


Inilah politik demokrasi dalam UMNO, yang menjadikan sebelum pintu ditutup esok (Sabtu 21 September), sejumlah enam pesaing ke jawatan itu.

Sejarah UMNO menyaksikan ramai kalangan menteri dan menteri besar menyertai perebutan Naib Presiden.

Tan Sri Dr. Rais Yatim mencuba nasib bertanding jawatan itu pada 1981, 1984, 1987 dan tahun 2000. Tetapi tuah tidak menyebelahinya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung 1972. Tetapi beliau tewas kepada Sardon Jubir, Hussein Onn dan Ghafar Baba.

Namun, tiada siapa menjangka enam tahun kemudian pada 1978, Dr. Mahathir menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden sebelum dipilih sebagai Presiden parti.
Demikian juga dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba yang tidak pula ada jawatan menteri tetapi menang Naib Presiden.

Pada 2009, buat pertama kalinya dalam sejarah UMNO, wakil Sabah menduduki kerusi Naib Presiden menerusi Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal setelah kegagalan Datuk Seri Osu Sukam.

Sebelum perwakilan UMNO menentukan sendiri siapa yang mereka mahu untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden pada 2009, secara tradisi dalam sejarah 63 tahun kewujudan parti itu, Presiden akan memilih timbalannya dari kalangan tiga Naib Presiden. Ini tanpa mengira sama ada Naib Presiden paling kanan, kedua atau yang ketiga.

Naib Presiden UMNO adalah satu jawatan penting. Tetapi signifikan jawatan itu akan lebih besar jika para penyandangnya kelak melihat kemenangan mereka dalam konteks tanggungjawab untuk membantu Datuk Seri Najib Tun Razak mencapai objektif-objektif perjuangan UMNO, Barisan Nasional dan tentunya, negara.

Di bahu ketiga-tiga Naib Presiden baharu UMNO itu pada 19 Oktober nanti tersangkut beban yang amat berat. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka merupakan barisan pelapis kepemimpinan tertinggi UMNO yang menjadi impian Najib dan UMNO.

Adakah mereka dapat membantu UMNO yang dipimpin oleh Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan keyakinan rakyat yang agak merosot dalam pilihan raya umum 2013?

Dalam era politik hari ini yang didominasi orang muda, dengan BN sendiri dua kali terlepas majoriti dua pertiga, seorang Naib Presiden tidak boleh lagi bersikap seperti 'Santa Claus' - hanya untuk menggembirakan orang di sekelilingnya.

Ketiga-tiga Naib Presiden perlu berpegang kepada prinsip - UMNO tidak boleh selama-lamanya berada dalam zaman feudal, iaitu orang bawah takut untuk bercakap.

Para pemimpin kanan ini harus menegur kepemimpinan yang lebih tinggi atau membuat kenyataan yang berkaitan dengan kebenaran demi untuk kebaikan parti.

Pengalaman UMNO dalam kes sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun-tahun 80-an dan 90-an memperlihat bahawa kepemimpinan parti itu masih belum bebas daripada stigma buruk yang ditinggalkan oleh Anwar.

Barisan pelapis kepemimpinan UMNO yang dipilih kelak harus terus bersih, sentiasa dihormati dan tidak berpura-pura.

Mereka perlu sentiasa tidak menghakiskan kepercayaan bangsa Melayu dari hari pertama mereka diangkat sebagai pelapis kepemimpinan tertinggi UMNO


Artikel Penuh: 
Signifikan Persaingan Naib Presiden UMNO 



~ Tanjak Pusaka ~

No comments:

Post a Comment