Tuesday 17 September 2013

Kempen Pemilihan UMNO 2013

Senario politik ketika ini amat menarik untuk dikupas kerana UMNO akan mengadakan pemilihan parti yang menampilkan kelainan dari segi kaedah pemilihan, calon-calon yang akan bertanding di sampin kuasa memilih pucuk pimpinan kini terletak di tangan kira-kira 150,000 ahli akar umbi.

Umumnya 'kuasa' memilih untuk kelangsungan parti yang telah memerintah negara hampir mencapai 60 tahun lamanya disifatkan penentu survival UMNO di Malaysia malahan bagi berhadapan dengan persediaan menjurus Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang.

Berdasarkan perkembangan awal, senario kempen pemilihan UMNO mula berubah sejajar dengan transformasi dilakukan Yab Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memperkasa UMNO untuk meraih semula sokongan rakyat Malaysia khususnya di kalangan bangsa Melayu.

Secara rasminya, persidangan tahunan UMNO peringkat Cawangan telah pun selesai, kini fokus mula tertumpu kepada mesyuarat Bahagian yang bakal menyaksikan hampir sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian akan ditentang khususnya di Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang. Malahan jawatan-jawatan lain turut tidak terlepas dari berlakunya pertandingan mengakibatkan timbulnya kem-kem tertentu yang dikhuatiri bakal menjejaskan perpaduan UMNO.

Jika dilihat, negeri-negeri berkenaan adalah negeri yang mana Barisan Nasional gagal untuk membentuk kerajaan negeri setelah kalah pada Pilihanraya Umum Ke-13 kecuali Johor yang terpalit dengan prestasi kurang memberangsangkan setelah DAP berjaya menembusi kubu kuat UMNO itu.

Umumnya senario ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa berlakunya tindakan protes terhadap kewibawaan pucuk pimpinan di peringkat Bahagian selain "signal" agar mereka ini bertanggungjawab terhadap kekalahan BN di negeri-negeri tersebut.

Ke arah kempen pemilihan UMNO yang dijangka diadakan pada 19 Oktober 201 ini, satu analisis ringkas telah dilakukan terhadap jawatan-jawatan tertinggi parti bagi memperlihatkan trend sokongan di peringkat akar umbi.

Presiden/Timbalan Presiden

Secara umumnya ahli dan pemimpin UMNO bersetuju supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan bagi mengelak perpecahan dalam parti. Namun terdapat pandangan pihak lain mahukan jawatan tersebut dipertandingkan bagi menunjukkan amalan demokrasi berlaku dalam UMNO.
Sehubungan itu, pucuk pimpinan parti perlu berhati-hati dan tidak terperangkap dengan permainan politik pihak luar serta segelintir ahli parti yang boleh membawa kepada perpecahan yang lebih buruk.

Terdapat mereka yang berpandangan bahawa sekiranya tidak berlaku pertandingan di peringkat pucuk pimpinan maka transformasi politik yang cuba diketengahkan oleh UMNO akan terencat. Justeru jika berlakunya pertandingan ianya perlu dikawal selia dengan berkesan.

Naib Presiden

Sementara bagi jawatan Naib Presiden pula para pemerhati melihat hasrat Tan Sri Mohd Isa Samad dan Dato’ Seri Mohd Ali Rustam menawarkan diri bertanding sebagai protes kepada pucuk pimpinan yang dianggap gagal dalam misi mendapatkan 2/3 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu walaupun kedua-duanya pernah disabitkan terlibat dalam politik wang semasa pemilihan lalu. Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada UMNO dan pucuk pimpinan parti yang juga mampu menjejaskan kredibiliti dan imej UMNO secara keseluruhannya.

Penampilan Tan Sri Mohd Isa Samad dan Dato’ Seri Mohd Ali Rustam juga dilihat sama ada satu tindakan untuk menyekat ketiga-tiga inkumben yang dianggap sebagai barisan pelapis untuk mengambil alih kepimpinan UMNO kelak ataupun mereka yang mahukan barisan kepimpinan Naib Presiden yang dibarisi gandingan lama dan baru.

Oleh itu pucuk pimpinan parti perlu melihat kesan baik buruknya hasrat kedua-dua pemimpin ini untuk bertanding jawatan tersebut kerana pemilihan kali ini membawa satu mesej yang besar kepada halatuju dan masa depan parti dalam menghadapi PRU Ke-14.

Ketua Wanita

Terdapat kalangan yang berpendapat bahawa pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita di antara penyandang jawatan itu iaitu Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan Exco Wanita Umno Pusat, Raihan Sulaiman Palestine tidak akan membawa perpecahan yang besar kerana rata-rata kepimpinan Wanita Negeri mahu mengekalkan “status quo” sedia ada. Namun tindakan ini dilihat akan menyekat peluang golongan muda yang mempunyai bakat serta daya kepimpinan seperti dibuktikan Dato’ Azalina Othman Said semasa menerajui sayap Puteri.

Dalam hal ini pucuk pimpinan parti perlu mengambil perhatian sewajarnya dengan tindakan Raihan Sulaiman Palestine itu walaupun beliau “melanggar” proses tradisi Pergerakan Wanita untuk mengetuai sayap tersebut berbanding Dato’ Noraini Ahmad dan Dato’ Rosnah Rashid Shirlin yang terpaksa melalui proses asas dalam pemilihan kali ini.

Ketua Pemuda

Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, populariti Khairy Jamaludin semakin meningkat apabila diberi tanggungjawab menganggotai Kabinet Kerajaan dan dalam masa sama mengetuai sayap Pemuda yang berjaya mengawal kebanyakan Ketua-Ketua Pemuda di Peringkat Negeri sehingga sukar pemimpin Pemuda lain untuk mencabar beliau. Walaupun baru-baru ini, dikatakan Akhramsyah Sanusi  bakal memberi saingan kepada Khairy Jamaluddin dalam pemilihan parti kelak.

Tindakan ini dilihat sesetengah pihak sebagai mementingkan diri untuk menjamin kedudukan yang lebih kukuh di dalam sayap tersebut. Berdasarkan kedudukan itu terdapat kalangan mahukan beliau dicabar kerana mengambilkira kepada sumbangannya kepada parti sebelum ini yang dilabelkan sebagai Ketua Pemuda pasif dan tidak efektif.

Ketua Puteri

Sesetengah pihak melihat penubuhan sayap Puteri sebagai pelapis khususnya kepada Pergerakan Wanita dan amnya kepada parti tidak membawa perubahan yang besar tetapi lebih menjurus wujudnya jurang di antara golongan veteran dengan muda.

Jika mereka tidak diberi peluang dan terpaksa melalui proses tradisi pemilihan parti, seolah-olah berlaku diskriminasi terhadap golongan muda sekaligus memberi gambaran bahawa gandingan lama dan baru yang cuba dibawa oleh pucuk pimpinan parti melalui transformasi politik gagal dilaksanakan.

“Bagi para perwakilan yang akan memilih pada pemilihan UMNO nanti, tanggungjawab yang berat itu haruslah berpaksikan kepada asas perjuangan parti...bukan sekadar memilih hanya kerana imbuhan, ganjaran, kroni dan sebagainya yang mampu menjejaskan usaha memulihkan UMNO yang kian dimamah usia. Proses meremajakan UMNO haruslah menjadi kriteria utama agar UMNO terus kekal relevan di persada politik tanah air ini..”

   ~ Tanjak Pusaka ~

No comments:

Post a Comment