Saturday 21 September 2013

#pemilihanUMNO : 4 Calon Ketua Pemuda Tanda Protes Kepada KJ??


akhram-semangat-513
Lebih meriah dari yang dijangka nampaknya persaingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Sehingga petang Jumaat, Agendadaily dimaklumkan ada tiga calon yang berminat untuk mencabar penyandang Khairy Jamaluddin.
Antara yang sudah mengesahkan untuk mencabar Khairy adalah, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, selain bekas Ketua Pemuda UMNO Merbok, Karim Ali, Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail.
Sementara seorang ahli UMNO dari bahagian Rembau, Hanafi Taib, juga mengumumkan hasrat bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Rembau yang turut di sandang Khairy dalam satu sidang media di Rembau petang Jumaat.
Untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, calon paling popular untuk 'berentap' dengan Menteri Belia dan Sukan itu tentulah anak bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid, Akhramsyah yang buat sidang akhbar pertama di Bangsar pagi Jumaat.
akhram-mugshot
Akhram, 40, (gambar) memberitahu slogan kempen beliau adalah HIDUP MELAYU dan dengan ikrar untuk menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu sekiranya terpilih menerajui sayap parti itu.

Tanpa apologetik, Akhram memulakan sidang akhbar di sebuah premis di Jalan Maarof Bangsar dengan mengatakan belai merupakan anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tanpil dengan baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin, Akhram yang diapit oleh beberapa calon Exco Pemuda UMNO berkata Pemuda UMNO sejak lima tahun lalu berubah wajah dan tidak lagi menjulang obor perjuangan agenda Melayu.
"Timbul rintihan peringkat akar umbi terutama sekali pada golongan muda yang UMNO terlihat seperti tidak lagi menjaga kebajikan mereka. Segala usaha serta dasar kerajaan kurang mengena sasaran dan ini menimbulkan kerunsingan.
"Rintihan akar umbi Pemuda juga timbul tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tak cukup kerap sampai kebawah. Lebih parah lagi ada orang muda yang kini menuduh Pemuda sebagai tidak lagi berperanan sebagai pendesak agenda Melayu," katanya.
Beliau yang mengaku mendapat sokongan penuh ayahnya bagaimanapun menafikan proksi kepada mana-mana pihak sama ada 'kem' Tun Dr Mahathir atau Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mengakui masuk gelanggang sebagai 'underdog' kata Akhram, dengan peraturan baru yang menaikkan jumlah pemilih untuk jawatan dalam Pergerakan Pemuda dari 800 ahli kepada lebih kurang 75,000 ahli seluruh negara, peluang sentiasa terbuka untuk semua calon.
"Khairy sebagai menteri dan penyandang sudah tentu memberi kelebihan, namun melihat ramainya ahli yang menjadi pemilih, saya rasa setiap calon mempunyai potensi untuk menang," ujarnya.
Mengakui akan mula bergerak ke seluruh negara mulai esok (Sabtu), jelas Akhram strategi kempen beliau adalah menggunakan media dan bertemu seramai mana ahli yang mampu ditemui dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan mengundi di bahagian masing-masing pada 12 Oktober ini.
Esok merupakan hari penyerahan borang pencalonan untuk bertanding dan Selasa depan merupakan hari akan dikeluarkan senarai penuh individu yang akan bertanding jawatan-jawatan dalam pemilihan UMNO 2013.
Sementara itu, ada cakap-cakap bahawa Akhram yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi tidak cukup syarat untuk bertanding jawatan tertinggi dalam Pemuda UMNO.
Antara syaratnya adalah ahli UMNO selama tiga tahun dan sekurang-kurangnya pernah memegang jawatan AJK bahagian selama sepenggal. Akhram dikatakan tidak pernah pegang jawatan  AJK bahagian atau yang lebih tinggi dari itu.
Namun Akhram yang diajukan soalan tersebut memberitahu, berdasarkan semakan beliau dan risik-risik dengan indivisu yang lebih arif mengenai peraturan pemilihan, beliau layak bertanding.
"Saya merujuk sebaiknya dan tiada pihak yang mengatakan saya tak boleh bertanding. Harap borang diterima. Saya harapkan persaingan sedia ada bukanlah seorang yang gerun melihat saya dan mematikan saya dari sudut teknikal kalau beliau benar-benar berupaya jadi Ketua Pemuda UMNO lagi sepenggal," katanya.
"Kita tunggu esok. Kalau tak lulus saya akan mengemukakan permohonan rayuan kepada Lembaga Pemilihan Parti," katanya.
Tarikh tutup menghantar borang pencalonan di Ibu Pejabat UMNO, PWTC sehingga petang esok.-20/9/2013 

No comments:

Post a Comment